FAQ BADAL HAJI
Apakah hukum menghajikan orang yang telah meniggal dunia?
Jika orang yang telah meniggal dunia itu belum mengerjakan haji sedang dia ada meninggalkan harta maka hukumnya wajib dihajikan daripada hartanya. Kalau ia tidak ada harta peninggalan tidaklah wajib waris menghajikannya tetapi kalau dibuatkan adalah baik. Ini pada haji pertama. Adapun jika si mati sudah pernah mengerjakannya, semasa hidupnya maka tidaklah sah dihajikan lagi kecuali jika dia ada bernazar atau dia berwasiat supaya dihajikan.
Adakah wajib dihajikan orang yang telah meninggal dunia dari harta peninggalannya sedangkan semasa hayatnya beliau belum lagi menyempurnakannya walaupun kemampuannya telah mencukupi?
Ya, wajib di hajikan daripada harta peninggalannya kerana kewajipan itu ertakluk kepada harta dan menjadi tanggungjawab waris mengeluarkan bahagian hajinya.
Apakah wajib ke atas si waris untuk menghajikan orang yang meninggal dunia yang tidak meninggalkan sebarang harta pusaka?
Tidak wajib.
Apakah pahala yang dapat diperolehi jika mengerjakan hji bagi orang yang meninggal dunia?
Orang yang mengerjakannya dapat pahala membantu dalam perkara kebajikan. Orang yang mati itu pula gugur kewajipan.
Bolehkah seorang yang tua atau uzur kerana sakit dan tidak ada harapan sembuh mewakilkan kepada orang lain untuk mengerjakan haji bagi dirinya?
Ya. Boleh mewakilkan orang lain jika ia tidak ada harapan lagi untuk mengerjakan hajinya sendiri. Orang ini termasuk dalam eri kata “makdhub”.
Bolehkah seorang wanita mengerjakan haji untuk seorang lelaki yang meninggal dunia?
Boleh.
Bolehkah seseorang mengerjakan haji untuk orang yang meniggalkan dunia lebih dari seorang?
Setiap orang hanya boleh mengerjakan haji unuk seorang di dalam satu-satu tahun itu.
Bolehkah seorang mengerjakan umrah untuk orang lain sesudah dia mengerjakan haji dan umrah wajibnya?
Ya. Boleh.
Apa hukumnya menghajikan orang yang telah meninggal dunia dan dengan wang siapa?
Apabila seseorang itu meninggal dunia harta peninggalannya tergantung kepada lima perkara mengikut turutan. Pertama, digunakan untuk menyelesaikan urusan jenazahnya. Kedua, menyelesaikan gadaian atau harta yang dipinjamnya dari orang lain. Ketiga, membayar hutang si mati samada hutang kepada manusia mahupun hutang kepada Allah SWT. Menunaikan wasiat si mati, jika beliau ada berwasiat. Keempat, membahagikan harta pusaka kepada waris-waris si mati.
Oleh itu jika si mati masih belum menunaikan fardu haji sedangkan ia telahpun mempunyai kemampuan berbuat demikian, maka wajiblah diwakilkan kepada orang lain supaya menunaikan fardu haji bagi pihaknya dengan syarat pihak yang menjadi wakil itu telahpun menunaikan fardu haji.
Antara dalil bagi perkara ini ialah, menurut riwayat Imam Bukhari dan Muslim, seorang perempuan dari Khas’am pernah bertanya Rasulullah s.a.w tentang kedudukan ayahnya yang sudah tua yang tidak mampu lagi menunaikan fardu haji, adakah beliau boleh menunaikan fardu haji bagi pihaknya. Ujar baginda s.a.w. : Ya.
Dalam riwayat yang lain, seorang perempuan pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang ibunya yang bernazar hendak menunaikan fardu haji tetapi belum sempat ia berbuat demikian, ia sudahpun meninggal, adakah boleh ia menunaikan fardu haji untuk ibunya itu. Rasulullah s.a.w memberi kebenaran kepada perempuan itu berbuat demikian.
Sehubungan dengan itu anda boleh mengeluarkan wang simpanan arwah untuk digunakan bagi menunaikan fardu haji bagi pihaknya, kerana ibadat haji itu dikira hutang dengan Allah yang perlu dilangsaikan terlebih dahulu, kemudian yang selebihnya hendaklah dibahagikan sebagaimana dalam sistem pembahagian pusaka.
Susunan semula oleh: Ustaz Abdul Rahman Md Sahid
Sumber asal: MUIS