Badal Haji 2022

Assalamualaikum Wr. Wb.


Kami menerima banyak soalan berkaitan Badal Haji bagi tahun 2022.

Sebagai makluman bersama, Pengurusan Badal Haji Singapura tidak melaksanakan sebarang Badal Haji pada tahun 2020 & 2021. Hampir 90% yang mendaftar Badal Haji bagi tahun 2020 telah pun diberikan bayaran balik (refund). Ini adalah kerana pada tahun 2020, Saudi hanya membenarkan Haji untuk peserta kali pertama sahaja (first timer), maka untuk syarat Badal Haji pula tidak boleh dilaksanakan oleh peserta kali pertama.

Pada tahun 2021 pula, Saudi memperkenalkan permit Haji dengan harga SR12,113 (S$4,340), SR14,381 (S$5,160), SR16,560 (S$5,940) bagi setiap mereka yang ingin melaksanakan Haji sama ada untuk penduduk Saudi atau antarabangsa. Oleh kerana harga tersebut dimaklumkan pada saat-saat terakhir, maka Pengurusan Badal Haji Singapura tidak menawarkan sebarang khidmat Badal Haji pada tahun 2021.

Untuk tahun 2022 ini pula, sehingga kini (23 Mei 2022), pendaftaran Haji untuk penduduk Saudi juga masih belum dibuka. Harga permit Haji juga belum dimaklumkan. Juga belum diketahui sama ada Haji tahun ini hanya dibenarkan untuk peserta kali pertama sahaja atau dibuka untuk semua. Maka berdasarkan maklumat-maklumat di atas masih belum diputusakan oleh Saudi, maka Pengurusan Badal Haji Singapura belum boleh menawarkan sebarang khidmat Badal Haji bagi tahun 2022 ini.

Bagaimana ingin kami tawarkan pakej Badal Haji bila Saudi sendiri belum buka pendaftaran untuk Haji bagi penduduk di Saudi? Dan jika bila Saudi buka pendaftaran kelak, adakah pegawai-pegawai kami akan mendapatkan permit tersebut? Kerana peluang sangat terhad.

Kami juga jangkakan kos permit Haji 2022 yang dikenakan oleh Saudi akan sekitar harga yang dikenakan pada tahun 2021. Jika ia berlaku, maka agak mustahil untuk melihat harga Badal Haji dibawah $5000. Jika demikian, kami sarankan agar ditangguhkan Badal Haji pada tuhun di mana situasi covid semakin pulih tanpa kos operasi haji yang tinggi. Tiada juga keperluan untuk menyegerakan perlaksanaan Badal Haji terutama dengan kos yang agak tinggi ini. Boleh juga pertimbangan ibadah lain seperti Wakaf untuk arwah tersayang.

Akhir sekali, sama-samalah kita nantikan pembukaan pendaftaran Haji untuk penduduk Saudi, yang masih tidak diketahui lagi tarikhnya. Semoga niat kita untuk melaksanakan Badal Haji untuk keluarga tersayang kita dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Amin ya Rabb.


Sekian.
Terima kasih.

PENGURUSAN BADAL HAJI, SINGAPURA

23 Mei 2022.